USAHAWAN selebriti, Datuk Seri Vida, mendakwa bahawa plaintif yang terlibat dalam kes penyitaan aset miliknya tidak mempunyai dokumen yang sah untuk memasuki kediamannya di Meru, Ipoh, pada Isnin lalu.
Menurut Vida, atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 53, pekerjanya membenarkan plaintif, Mohammad Taufik Kamarul, memasuki kediaman tersebut kerana gagal menghubunginya yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke luar negara.
Teruskan Membaca“Pekerja tidak dapat menghubungi saya kerana saya berada dalam penerbangan ke luar negara, jadi mereka buat keputusan sendiri.
“Saya hanya mengetahui penghakiman sebelah pihak (ex parte) pada hari aset saya disita.
“Sepatutnya ada dokumen lain, writ rampasan memang ada, tetapi tiada dokumen membenarkan plaintif masuk ke dalam rumah,” katanya menerusi siaran langsung di TikTok, semalam.
Vida turut mempersoalkan tindakan tersebut yang dianggapnya tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beberapa aset milik pelantun lagu I Am Me itu disita selepas beliau gagal melunaskan baki tunggakan berjumlah RM1,060,285 kepada sebuah syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication, sejak 2018.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan bahawa Vida perlu menyelesaikan hutang tersebut pada 29 Oktober tahun lalu. Sekiranya gagal, writ rampasan dan penjualan akan dikeluarkan.
Syarikat kontraktor itu sebelum ini menjalankan kerja pengubahsuaian bangunan pejabat milik Vida, Vida All Star Studio, di Seksyen 33, Shah Alam.
Menurut peguam plaintif, Samir Zainal, beberapa aset mewah telah disita, termasuk empat buah kenderaan iaitu dua Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace, dan BMW X7.
Selain itu, barangan elektronik seperti televisyen Samsung bersaiz 100 inci dan 85 inci, konsol permainan, serta set alat muzik juga turut dirampas.
Barangan lain yang disita termasuk perabot dan hiasan seperti sofa (10 unit), piano jenama Kawai, almari pakaian (8 unit), pasu bunga (30 unit), penghawa dingin (15 unit), lukisan eksklusif (6 unit), dan lampu hiasan chandelier.
Kesemua aset tersebut kini tidak dibenarkan dibawa keluar dari kediaman dan akan dilelong pada 9 Disember sekiranya tunggakan hutang tidak dilangsaikan.
Baca juga: