Penyanyi bersuara lantang, Ara Johari, akui kecewa bila single popularnya Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) tak berjaya tembus senarai Top 5 AIM24 gara-gara kesilapan teknikal.
Berkongsi kesedihannya, Ara akui ini sepatutnya kali pertama dia bertanding di pentas berprestij Anugerah Industri Muzik (AIM) selepas hampir 10 tahun bergelar penyanyi.
Teruskan MembacaLagi memilukan, lagu hasil ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso, yang dah cecah lebih 20 juta views di YouTube, sebenarnya berpotensi besar untuk tercalon dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.
Pengurus Ara, Mohd Asrul Abdul Talib, pun gagal menahan rasa terkilan apabila peluang sulung itu terlepas begitu saja.
“Memang Ara sangat kecewa bila lagu itu langsung tak dicalonkan hanya sebab kesilapan teknikal. Kami pun baru tahu selepas undian ditutup. Lagi pedih bila ini sepatutnya peluang pertama Ara di AIM,” katanya dipetik BH Online.
Pun begitu, Asrul tetap anggap kejadian ini sebagai pengajaran. Katanya, selepas ini, mereka akan lebih teliti dan mungkin urus sendiri proses pencalonan supaya benda sama tak berulang.
Bagi Ara pula, walaupun hati remuk, dia enggan salahkan mana-mana pihak.
“Kami anggap tiada rezeki kali ini. Tak guna nak besarkan isu sebab Top 5 dah diumumkan. Walaupun kecewa, semangat Ara takkan patah,” katanya.
Sebagai info, kategori berkenaan akhirnya menyaksikan Ernie Zakri (Masing-Masing), Datuk Seri Siti Nurhaliza (Sejarah), Meisks (Dursila), Aina Abdul feat Fabio Asher (Cinta Tak Pernah Tepat Waktu) dan Sekumpulan Orang Gila feat Boniex For Revenge (Naluri) mara ke peringkat akhir.
AIM24 akan berlangsung pada 13 September depan, pentas berprestij yang sentiasa meraikan karya-karya terbaik industri muzik tanah air.