Nasi Ayam Mama Tini yang dijual pada harga RM26 sebekas terus menjadi bualan ramai di media sosial. Di sebalik perhatian yang diterima, usahawan dan selebriti terkenal Neelofa mengakui tidak semua pelanggan memberikan reaksi yang sama terhadap hidangan tersebut.
Menerusi perkongsian di Instagram, Neelofa mendedahkan idea untuk menjual nasi ayam itu sebenarnya tercetus selepas resipi keluarga yang pernah dikongsikannya menjadi tular dan mendapat sambutan luar biasa daripada netizen.
Teruskan MembacaMenurutnya, selepas melihat ramai yang berminat dan memberi maklum balas positif, ibunya, Noor Kartini atau lebih dikenali sebagai Mama Tini, mula terfikir untuk menjadikan hidangan itu sebagai jualan.
“Mulanya saya kongsi resipi nasi ayam dekat Instagram. Tak sangka pula jadi viral. Ramai yang tag saya dan mama, sampai akhirnya mama kata nak cuba jual nasi ayam ini,” katanya.
Neelofa turut menjelaskan nasi ayam berkenaan bukanlah resipi baharu, malah sudah menjadi antara menu kegemaran keluarganya sejak mereka menetap di Pasir Mas, Kelantan.
“Dari kecil lagi memang kami makan menu ini. Sampai sekarang pun masih jadi kegemaran keluarga,” ujarnya.
Mengulas mengenai pelbagai reaksi pelanggan, Neelofa berkata dia menerima dengan hati terbuka setiap pandangan yang diberikan, termasuk komen daripada mereka yang kurang menggemari rasa nasi ayam tersebut.
“Ramai yang kata sedap, tapi ada juga yang kata tak berapa kena dengan selera mereka. Itu perkara biasa, masing-masing ada citarasa berbeza,” katanya.
Dalam masa sama, Neelofa menjelaskan perniagaan nasi ayam itu hanyalah usaha sampingan Mama Tini yang kini sudah tidak bekerja dan dilakukan atas minat serta untuk membantu mereka yang berada di sekeliling.
“Saya memang okay kalau orang nak beri review yang jujur, sama ada suka atau tidak. Mama buat nasi ayam ini bukan sebab nak kejar keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada minat dan untuk bantu orang-orang di sekelilingnya,” jelasnya.
















