Pejabat Sultan Perak telah membuat laporan polis terhadap individu yang menyunting video Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dipercayai untuk mempengaruhi pengundi agar menyokong Pas pada pilihan raya enam negeri.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, cara klip video itu diolah menyebabkan raja pemerintah telah diheret secara langsung atau tidak langsung untuk tujuan politik kepartian
Teruskan Membaca“Demi melindungi nama baik Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak telah membuat laporan polis pada 29 Julai 2023.
“Ditegaskan bahawa Sultan Nazrin sama sekali tidak memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular video dipercayai dimuat naik Penyokong Pas yang hanya memetik sebahagian kecil titah baginda pada 19 Februari 2013 yang ketika itu sebagai Pemangku Raja Perak.
Mohd Zahidi menjelaskan, baginda Sultan Perak ketika itu tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap Pas, tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap Umno.
Katanya, bahagian yang memuii Pas hanvalah petikan pendek begitu juga pujian terhadap Umno, maka tidak timbul bahawa baginda hanya memandang tinggi mengenai Pas.
“Adalah dipercayai ada pihak yang memilih memetik titah Sultan Nazrin pada tahun 2013 untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Perbuatan menularkan video yang berkaitan sangat tidak beretika dan perbuatan seperti ini disifatkan tidak bersopan kepada seorang raja pemerintah dan telah mencemarkan nama baik takhta.
“Oleh itu penularan video yang berkaitan wajib dihentikan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima 20 laporan polis berhubung penularan video berkenaan.
Katanya, laporan polis itu antara lain meminta siasatan dijalankan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap wanita yang memanipulasi video terbabit.
“Sebanyak 20 laporan polis itu dibuat di seluruh Perak sejak Ahad. (Terdahulu) laporan polis pertama dibuat di Balai Polis Brickfield di Kuala Lumpur pada Sabtu, dan siasatan kes ini telah diserahkan kepada pihak Bukit Aman,” katanya.