Terkini

Selalu disebut, apakah sejarah di sebalik nama jalan di Kuala Lumpur

Pernahkah terlintas di fikiran anda dari mana asal nama jalan di ibu negara, Malaysia? Kali ini, apa kata kita menyelami sejarah nama jalan yang popular di sekitar Kuala Lumpur.

Beberapa nama jalan popular yang sering kita lihat di jalan utama antaranya Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Raja Chulan, Jalan P. Ramlee, Jalan Palestin, Jalan Tun Hs Lee, Jalan Hang Tuah, Jalan Hang Jebat dan Jalan Tun Sambathan.

Jalan Raja Laut

Jalan Raja Laut diabadikan sempena nama seorang majistret dan penghulu Kuala Lumpur. Raja Muda Laut, Putera kedua Sultan Selangor yang ketiga, DYMM Sultan Muhammad Shah Almarhum Sultan Ibrahim Shah. Baginda digelar Raja Laut kerana dikatakan dilahirkan ketika berada di perairan sekitar Lukut dan baginda tersohor sebagai ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur sekitar 1880.

Baginda juga bertanggungjawab menubuhkan sekolah melayu pertama di Kuala Lumpur di mana anak tunggal baginda, Raja Alang ke sekolah berkenaan. Baginda menggunakan gelaran Raja Muda Laut sehingga tahun 1903. Jalan ini sebelum ini dikenali Jalan Broadrick Road.

Jalan Raja Chulan

Nama jalan ini dimasyhurkan sempena mengenang jasa Raja Chulan, anakanda kedua Almarhum Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II Habibullah. Pada tahun 1896, Raja Chulan dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah  sehingga tahun 1897.

Baginda merupakan tokoh yang bertanggungjawab membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu terdiri daripada negeri Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan pada 1 Julai 1896. Pada tahun 1911, Raja Chulan bersara daripada perkhidmatan awam selepas menyandang beberapa jawatan pentadbiran yang agak penting.

Baginda memainkan peranan utama dalam perbincangan-perbincangan Majlis untuk kepentingan orang Melayu, dan menyokong cadang-cadangan membahagikan semula kuasa pentadbiran yang kemudian dipusatkan di Kuala Lumpur kepada negeri-negeri persekutuan.

Jalan Sultan Ismail

Dahulunya jalan ini dikenali sebagai Treacher Road dan dinamakan semula dengan nama Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Yang Dipertuan Agong Malaysia keempat, baginda juga merupakan Sultan Terengganu. Sultan Ismail memerintah dari 1965 hingga 1970 dan Terengganu 1945 hingga 1979.

Baginda ialah raja yang mengisytiharkan darurat untuk membendung keganasan politik yang dashyat pada Mei 1969. Baginda juga terkenal sebagai seorang raja yang sering menjadi jurugambar sehingga dikenali sebagai ‘Raja Fotografi Malaysia’.

Jalan Tun Hs Lee

Jalan Tun Hs Lee dinamakan sempena Menteri Kewangan Malaysia pertama. Berdasarkan ketokohan beliau serta peranan penting dalam menyatukan orang Cina di Tanah Melayu ketika itu, beliau telah dipilih sebagai salah seorang anggota rombongan ke London diketuai Tunku Abdul Rahman bagi rundingan kemerdekaan Tanah Melayu.

Ketokohan beliau membuka laluan penting kepada kerjasama politik antara orang Melayu dan Cina yang menjadi asas untuk persiapan ke arah kemerdekaan. Beliau juga perintis penubuhan Malayan Chinese Association (MCA). Jalan ini dahulunya dikenali sebagai Jalan Bandar dan High Street.

Jalan Tun Sambathan

Nama jalan ini diberikan sempena mengenang jasa besar tokoh yang banyak berbakti terhadap kemajuan negara, khususnya untuk rakyat India. Veerasamy Thirunyana Sambanthan atau Tun V.T Sambanthan merupakan bekas Menteri Buruh, Menteri Tenaga Telekom dan Pos (1959) dan jawatan terakhirnya Menteri Perpaduan. Beliau juga anggota rombongan kemerdekaan Tanah Melayu dan terlibat dalam menandatangani perjanjian kemerdekaan. Beliau adalah Presiden kelima kongres India Malaya (MIC).

Jalan P Ramlee

Ramai mengenali Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh ini dengan nama samaran P. Ramlee. Sepanjang kerjayanya, Tan Sri P. Ramlee telah terlibat dalam pelbagai aspek bagi filem-filemnya. Beliau telah mengarang 250 lagu dan menyanyikan hampir 30 daripadanya.

Beliau juga terlibat dalam 62 filem sepanjang kerjayanya sebagai pelakon, serta beberapa filem lain selain menerima pelbagai anugerah dan penghargaan bagi hasil kerjanya. Beliau dikurnia Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) oleh DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong ketiga pada 1962 dan menerima anugerah Bintang Darjah Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.

Jalan P Ramlee di tengah-tengah pusat bandar dinamakan sempena memperingati nama seniman agung negara yang banyak berjasa dalam bidang seni ini. Pada Julai 1983, Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, Dr. Elyas Omar mengumumkan Jalan Parry ditukarkan kepada Jalan P.Ramlee dan diwarta serta -merta.

Jalan Hang Tuah

“Takkan Melayu Hilang di Dunia, selagi berpegang teguh kepada agama Islam”. Jalan ini dinamakan sempena pahlawan lagenda Nusantara, zaman kesultanan Melayu Melaka abad ke-15, iaitu Hang Tuah. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Sultan dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.

Nama ini diberikan oleh Sultan Mansur Shah. Hang Tuah bersama empat orang kawannya, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Jalan ini pada asalnya dinamakan sebagai Jalan Gaol, dan seterusnya Jalan Shaw sebelum dinamakan semula sebagai Jalan Hang Tuah.

Jalan Hang Jebat

Raja Adil Disembah, Raja Zalim Disanggah! Menjadi menjadi kata-kata hikmat setiap kali memperkatakan perjuangan menuntut keadilan atau ketika hendak memperkatakan kezaliman raja yang memerintah. Keberanian dan ketegasan Hang Jebat mencari keadilan sehingga sanggup menderhaka kepada Sultan menjadikan beliau disanjung sesetengah golongan sehingga ke zaman ini.

Jalan Hang Jebat pada asalnya dikenali sebagai Jalan Davidson. Ia dinamakan sempena James Guthrie Davidson, yang berkhidmat sebagai Residen British pertama Perak pada tahun 1875, dan sebagai Residen British Perak dari 11 April 1876 hingga 31 Mac 1877, berikutan pembunuhan J.W.W. Birch.

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top