Tanda-tanda tekanan
Tanda-tanda tekanan boleh dibahagikan kepada gejala fizikal, tingkah laku dan psikologikal. Antaranya ialah sakit kepala, tegang otot, cepat letih, berdebar-debar, kurang selera makan, sedih serta sukar tidur.
Teruskan MembacaIa juga boleh menyebabkan individu tidak hadir bekerja, hilang minat, cepat marah serta sukar membuat keputusan. Mereka juga cenderung untuk mengalami kemalangan di tempat kerja.
Punca-punca tekanan
Tekanan boleh berpunca daripada individu, jenis pekerjaan, tempoh bekerja yang panjang atau faktor persekitaran.
Konflik di kalangan teman sekerja atau ketua adalah antara sebab yang paling kerap ditemui.
Ini menyebabkan berlakunya jurang komunikasi serta menjejaskan produktiviti di tempat kerja.
Fenomena buli di tempat kerja turut menjadi punca.
Adakalanya pekerja bukan sahaja dibuli oleh ketua tetapi juga oleh rakan sejawat yang lebih senior. Ada pekerja yang tidak diberikan kuasa autonomi serta tiada peluang untuk kenaikan pangkat atau kemajuan kerjaya.
Selain daripada buli, ada pekerja yang didera dalam bentuk emosi seperti disindir atau diherdik serta mengalami gangguan seksual. Persekitaran kerja yang toksik, jauh dari tempat tinggal serta waktu bekerja yang panjang serta sukar mengambil cuti turut menjadi antara punca stres.
Untuk itu, perlu dikenal pasti apakah punca stres di tempat kerja tersebut. Ada punca tekanan yang di luar kawalan individu dan individu tersebut harus belajar untuk menguruskan tekanan dengan baik.
Tips untuk pekerja
1) Jika masalah tersebut adalah daripada individu, cuba bersemuka dan cari jalan penyelesaian. Banyak masalah berpunca dari maklumat orang ketiga sehingga menimbulkan salah faham yang berpanjangan.
2) Rancang kerja dan masa dengan baik. Senaraikan tugasan mengikut kepentingan dan tarikh yang perlu disiapkan.
3) Kenal pasti serta ubah jika ada polisi yang tidak fleksibel sehingga menyebabkan stres berlaku.
4) Cuba kenal pasti tahap kemampuan sendiri dan belajar untuk menjadi lebih asertif. Seringkali mereka yang boleh buat kerja dibuli dengan beban kerja yang banyak, sedangkan mereka yang malas tidak diberikan tugasan yang sewajarnya. Ini akan menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di kemudian hari.
5) Lakukan kerja secara berpasukan serta bahagikan tugas mengikut kemahiran serta kebolehan.
Tips untuk ketua atau majikan
1) Amalkan sikap terbuka serta berbincang denan pekerja jika ada perkara yang tidak memuaskan hati.
2) Berikan teguran secara individu dan tertutup.
3) Berikan insentif kepada mereka yang layak untuk meningkatkan motivasi serta harga diri.
4) Berikan sokongan untuk kemajuan kerjaya.
5) Beri pertimbangan yang sewajarnya untuk perkara yang berkaitan dengan masalah keluarga dan penyakit. Contohnya jika mereka terpaksa mengambil cuti kerana anak sakit atau hadir untuk temujanji ke hospital. Jika masalah keluarga dan penyakit dapat diuruskan dengan baik, maka prestasi kerja juga adalah lebih baik.
6) Tingkatkan pengetahuan tentang kesihatan mental dan pastikan bahawa ada saluran bantuan untuk diberikan kepada individu yang perlu.
7) Jadikan sikap hormat-menghormati serta komunikasi berkesan sebagai budaya di tempat kerja.
Tekanan perlu ditangani di peringkat awal. Tekanan yang berpanjangan boleh menyebabkan berlakunya kemurungan, kegelisahan, mencetuskan penyakit serta menyebabkan penyakit fizikal sedia ada menjadi bertambah teruk.
Untuk itu adalah penting agar pekerja dan majikan bersama-sama berusaha untuk mengurangkan tekanan serta menjadikan persekitaran kerja kondusif dan harmoni.
Baca juga: