Kerajaan berhak untuk mengumumkan sebarang insentif kepada rakyat pada bila-bila masa, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat pihak yang mempersoalkan mengenai dasar dan ekonomi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun apabila terdapat insentif yang diumumkan ia dianggap sebagai ‘gula-gula’ sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Teruskan Membaca“Kerajaan berhak untuk membuat pengumuman pada waktu bila pun, takkan kalau ada pilihan raya kerajaan tidak boleh buat apa apa?
“Katakan kita umum mengenai Ekonomi Madani, lantas ada di luar sana mendakwa pengumuman itu adalah untuk Perdana Menteri pada PRU (Pilihan Raya Umum), takkan seorang Perdana Menteri tak boleh nak umum beberapa perkara?
“Kritikan di luar semua tak kena, kata belum nampak dasar ekonomi dan bantai kita (kerajaan) seperti tidak tahu uruskan ekonomi.
“Tapi bila dah buat pengumuman, mereka kata itu gula-gula. Jadi kita tidak peduli kritikan di luar ini yang penting untuk kerajaan adalah melaksanakan tugas berkesan kepada rakyat,” katanya selepas melancarkan Sistem iPatuh Jabatan Kastam Diraja (JKDM), di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta supaya Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya mengulangi budaya ‘gula-gula pilihan raya’ menjelang PRN.
Beliau mendakwa, bantuan itu dilihat seperti gula-gula pada pilihan raya memandangkan pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum kempen PRN bermula.
Terdahulu, Ahmad ketika berucap pada majlis berkenaan, berkata sekiranya JKDM dapat terus memberikan hasil kepada kerajaan, lebih banyak manfaat akan diberikan kepada rakyat.
“Kalau Kastam boleh dapat banyak duit, akan banyak lagi pengumuman untuk rakyat. (Pengumuman) ini bukan sebab PRN, sebelum PRN pun kita ada umum, lepas PRN pun kita umum,” katanya.
Tambahnya, apa yang dilakukan ini menunjukkan kerajaan mempunyai hala tuju selepas ramai yang mendakwa Anwar hanya tahu memberikan ceramah semata-mata.
“Perdana Menteri sudah menyebut mengenai dasar 2023 sebelum ini malah dari semasa ke semasa memang ada pengumuman tertentu.
“Ini buktikan kerajaan mempunyai rancangan teliti, selepas ini ada lagi dasar pengidustrian baharu akan diumum, pengumuman mengenai kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan umum.
“Jadi tentu perkara ini akan bantu menambah dan melonjakkan ekonomi negara,” katanya.