Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzi menggesa pihak yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya menjauhkan diri daripada menyentuh topik sensitif berkaitan 3R (kaum, agama dan raja).
Fahmi turut menyeru agar semua pihak mengadakan kempen secara harmoni dan aman sepanjang kempen berlangsung.
Teruskan Membaca“Ya, sudah tentu aktiviti ini akan dipantau kerana kita tidak mahu isu 3R dimainkan sewenang-wenangnya oleh parti yang bertanding
“Kita tahu kita sedar kita ada hak berpolitik dan ini adalah demokrasi, tapi pada masa sama kita ada undang-undang-undang dan adab tatasusila,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, platform media sosial seperti TikTok dan Meta akan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan bagi membantu memastikan undang-undang negara dihormati dan tiada pelanggaran sepanjang tempoh berkempen enam PRN kali ini.
Fahmi berkata, pihaknya menjangkakan platform media sosial menjadi lebih rancak terutama menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini.
Justeru, katanya, pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dirancakkan sepanjang tempoh berkempen PRN.
“Tempoh hari saya mengadakan mesyuarat bersama Ketua Polis Negara untuk melihat apa yang perlu dilakukan bagi memantapkan pasukan pemantauan terutama isu 3R (isu agama, raja dan kaum) dan beberapa perkara telah dipersetujui dan dilaksanakan pada kadar segera.
“Kalau kita ambil pengajaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jumlah kandungan dimuat naik sangat besar jumlahnya dan mungkin agak sukar untuk dipantau satu jumlah yang kecil.
“Tapi pada masa sama kita telah mendapat kerjasama platform seperti TikTok dan Meta, mereka sedia membantu memastikan undang-undang negara kita dihormati dan tiada pelanggaran sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau percaya garis panduan komuniti yang ada pada setiap platform media sosial akan secara automatik diaktifkan apabila berlaku pelanggaran atau aduan dibuat oleh orang ramai.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang memantau atau mengikuti tempoh berkempen ini membuat laporan di platform terbabit sekiranya mereka mendapati apa yang disebut secara dalam talian itu melanggar undang-undang atau menimbul kegusaran.