Seorang gelandangan cedera dipercayai dipijak bertubi-tubi oleh lelaki dalam kejadian di Jalan Tun Tan Cheng Lock di ibu negara, tengah malam tadi.
Polis menerima laporan kejadian itu pada 12.11 tengah malam oleh seorang wanita berusia 21 tahun yang turut dipukul suspek.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, susulan itu pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 36 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.
“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu. Motif kejadian masih disiasat.
“Kami sedang mengesan gelandangan tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, satu hantaran tular di aplikasi X yang dahulunya Twitter, menceritakan insiden seorang lelaki tiba-tiba menyepak wanita di sebuah kedai bunga dan memijak gelandangan yang sedang tidur.
Difahamkan kejadian itu menyebabkan gelandangan terbabit mengalami pendarahan di kepala.