PANDU cermat, jiwa selamat. Begitulah nasihat Pesanan Khidmat Masyarakat kepada pengguna jalan raya agar berhati-hati dan fokus terhadap pemanduan.
Bagaimanapun, bagai kata pepatah, malang tidak berbau. Hal itu apabila seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah lori ketika berkonvoi untuk menghadiri program RXZ Fighter Gathering 2024 di Kuantan, pada Isnin.
Teruskan MembacaMangsa, Mohammad Sharfie Sukri, 21, maut selepas motosikalnya bergesel dengan lori dan tercampak ke tengah lebuh raya.
Ketua Polis Daerah Maran DSP Mohamad Zamri Mohamad Zaber, berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi di kilometer 156.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, arah ke Kuantan dekat Maran.
Baca juga: Skim Perumahan MADANI akan diperincikan di sekitar Kuala Lumpur – Zaliha
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa menyertai konvoi membabitkan 10 motosikal dari Petaling Jaya, Selangor untuk menghadiri program RXZ Fighter Gathering 2024 di Kuantan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa di lorong kiri lebuh raya bergesel dengan lori juga dari arah sama dan akibat kemalangan itu mangsa tercampak ke atas jalan serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Baca juga: Perhimpunan wanita WMMY 2024 tuntut 10 perkara melibatkan saksama jantina, keganasan
Kes tersebut disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu tular video yang dipercayai memperlihatkan mangsa menunggang motosikal sambil memegang telefon bimbit sebelum muncul sebuah lori dari arah belakang. — KL Viral