PEMPENGARUH terkemuka dunia, IShowSpeed menerima sambutan hangat daripada peminat di Malaysia selepas memulakan jelajah Asia Tenggara di negara tersebut.
Masakan tidak, pempengaruh berusia 19 tahun yang berasal dari Amerika Syarikat tersebut mempunyai kira-kira 60 juta pengikut di semua laman sosial miliknya.
Teruskan MembacaLebih mesra disapa sebagai Speed, jelajahnya di negara bermula dengan kunjungan di Pavilion Kuala Lumpur, yang merupakan salah satu tarikan utama pelancong di negara.
Ratusan peminat berpusu-pusu mencuba untuk mendekati dirinya sepanjang dia berada di kompleks beli-belah tersebut.
Lambakan peminat di kawasan tersebut mengakibatkan restoran pilihan Speed, Fuiyoh! It’s Uncle Roger terpaksa menutup pintu gerai mereka kerana terlalu ramai peminat memenuhi kawasan tersebut.
Disebabkan kumpulan peminat yang terlalu besar, Speed terpaksa melaungkan ucapan ‘sabar’ kepada peminat yang ingin mendekatinya secara agresif.
“Bagaimana saya mahu meminta orang ‘bersabar’ dalam bahasa Melayu? (How do you say ‘calm down’ in Malaysia?) Sabar! Sabar! Sabar!” laung Speed sambil pengawalnya cuba memberhentikan peminat yang berpusu-pusu menghampirinya.
Speed turut tidak melepaskan peluang untuk menikmati sendiri sajian nasi goreng signature milik Nigel Ng, yang juga merupakan bintang sensasi sosial media.
Selain Pavilion, Speed turut melawat beberapa kawasan pilihan orang ramai seperti Petaling Street dan Berjaya Times Square.
Di sana, dia menikmati makanan nasional Malaysia, nasi lemak sambil mengenakan jersi pasukan bola sepak tempatan, Harimau Malaya.
Selain nasi lemak, dia turut mencuba untuk merasai sendiri buah durian di Jalan Alor, meskipun kerap loya disebabkan bau kuat buah tersebut.
Pada malam hari pula, Speed sempat mendekati komuniti di ibu kota negara dan ‘melepak’ bersama pempengaruh yang terkenal di TikTok, Roy Bundle.
Sepanjang pertemuan mereka, Roy turut mengajak Speed untuk membuat tarian ‘dugem’ bersama dan Speed turut mengambil peluang untuk menunggang motosikal dengan sendiri.
Video lawatan Speed ke Malaysia telah mencapai lebih 8 juta tontonan di YouTube dengan bilangan penonton sebanyak 30 juta sepanjang dia bersiaran langsung di aplikasi tersebut.
Sebelum ke Malaysia, Speed juga melawat Thailand, Filipina Kemboja dan Vietnam sebagai sebahagian daripada jelajah 10 hari di sekitar Asia Tenggara. Dia dijangka melawat Singapura seterusnya.
Speed, atau nama sebenarnya Darren Jason Watkins Jr, terkenal dengan keperibadian keras dan reaksi dramatiknya dan juga merupakan peminat pemain bola sepak, Cristiano Ronaldo. — KL Viral
Baca juga: