Oleh: Hanim Nadia
Teruskan MembacaLANGKAWI, sebuah pulau yang terletak di utara Semenanjung Malaysia, bukan sahaja terkenal dengan pantai-pantai yang mempesona dan landskap yang menakjubkan, tetapi kini menjadi tumpuan dunia sebagai tuan rumah Mesyuarat ASEAN 2025 pada pertengahan Januari lalu.
Keindahan semula jadi Langkawi yang mengagumkan bukan hanya menjadikannya destinasi pelancongan popular, tetapi turut memberi impak besar dalam usaha memperkukuhkan kerjasama serantau dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Inap Desa Langkawi, Abdul Jamil Ali, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang berlangsung bukan sahaja menjadi peluang untuk menonjolkan keindahan semula jadi Langkawi, tetapi juga membuka pintu rezeki kepada masyarakat setempat.
“Bagi kami, ini adalah peluang keemasan selepas Langkawi mengalami kemerosotan pelancongan kira-kira tiga tahun lalu akibat pandemik COVID-19.
“Kehadiran delegasi antarabangsa ini tidak hanya memulihkan keyakinan terhadap Langkawi sebagai destinasi pelancongan, tetapi turut memberikan pengalaman yang pasti membuatkan mereka jatuh cinta dengan keunikan pulau ini,” ujarnya memetika laporan media Malaysia Madani.
Senada dengan kenyataan itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Kepengerusian ASEAN 2025 di Malaysia dijangka memberikan limpahan ekonomi yang besar kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya di negeri-negeri yang menjadi lokasi penganjuran.
“PKS boleh mengambil peluang dan manfaat daripada ASEAN 2025 dengan lebih cakna dan mengambil tahu peluang yang ditawarkan oleh ASEAN 2025.
“Selain itu, persediaan daripada segi sumber manusia, infrastruktur, kewangan dan operasi juga penting bagi memenuhi permintaan ASEAN 2025,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Pemilihan Langkawi sebagai tempat untuk mesyuarat bersejarah ini bukanlah kebetulan kerana suasana yang tenang dan kondusif, adalah tempat yang ideal untuk mengadakan perbincangan penting yang melibatkan kerjasama serantau.
Selain itu, Langkawi juga mempunyai kemudahan infrastruktur yang mampu menampung bilangan delegasi besar dari negara-negara ASEAN, dengan hotel, pusat perniagaan, dan tempat mesyuarat yang moden.
Keunikan pulau ini adalah ia menawarkan persekitaran yang berbeza daripada kebanyakan ibu kota negara-negara ASEAN yang sibuk, memberikan peluang untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai, namun tetap formal.
Ia adalah sebuah simbol perpaduan dan kerjasama dalam ASEAN, dan dengan pemilihan pulau ini sebagai tuan rumah Mesyuarat ASEAN 2025, Langkawi diiktiraf sebagai satu daripada permata yang memancarkan potensi besar bagi masa depan serantau.
Keindahan alam yang dimilikinya, digabungkan dengan semangat kerjasama yang diperkuatkan dalam mesyuarat ini, menjadikan Langkawi tidak hanya menarik, tetapi juga penting dalam konteks geopolitik serantau ASEAN.
Baca juga: