Kuala Lumpur : “Kami naik flight biasa, bukan jet peribadi!” itu penjelasan tegas Nurul Izzah Anwar, selepas tular dakwaan kononnya beliau dan suami menunaikan haji dengan penuh kemewahan.
Timbalan Presiden PKR itu tampil menafikan fitnah liar yang mendakwa mereka ke Tanah Suci menaiki jet peribadi dan tinggal di lokasi eksklusif.
Teruskan MembacaDalam satu hantaran di media sosial, Izzah menjelaskan bahawa mereka berdua menunaikan haji menggunakan visa mujamalah dan semua urusan diuruskan oleh agensi berlesen Mimm Travel.
“Kami guna duit simpanan sendiri, dan naik penerbangan komersial macam orang lain. Tiada jet, tiada layanan VVIP,” jelasnya.
Menurut Izzah, khemah penginapan mereka di Mina juga hanya bersebelahan khemah jemaah Malaysia yang lain, bukan di kawasan eksklusif seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Beliau turut meluahkan rasa terkilan apabila ibadah suci dijadikan bahan fitnah politik.
“Bila perkara tak benar disebar, lebih-lebih lagi tentang ibadah haji, ia perlu diperbetulkan.
Jangan jadikan perbezaan politik sebagai lesen untuk mencemarkan ibadah orang lain.”
Izzah turut berkongsi pengalaman manis menghadiri sesi ilmu di Madinah bersama tokoh-tokoh terkenal seperti Sheikh Dr Omar Suleiman dan Dr Tahir Wyatt.
Namun, katanya, detik paling menyentuh hati adalah sewaktu berada di Padang Arafah bersama suami, menghayati makna ayat ketiga Surah al-Mā’idah tentang kesempurnaan agama.
Beliau menutup kenyataan dengan doa agar lebih ramai umat Islam diberi peluang menjadi tetamu Allah dan dijauhkan daripada fitnah manusia.
“Janganlah kerana politik, ibadah jadi mangsa.”