Kalau sebelum ini ramai cuma mampu tengok harga Musang King dari jauh, tahun ini ceritanya lain. Varieti premium yang pernah dijual sehingga RM80 sekilogram kini ada yang dijual serendah RM5 sekilogram di beberapa kawasan.
Bukan Musang King saja hampir semua jenis durian turut mengalami kejatuhan harga susulan lambakan bekalan dari negeri-negeri pengeluar utama seperti Pahang, Johor, Perak, Kedah dan Kelantan.
Teruskan MembacaDurian kampung di pasaran kini dijual sekitar RM2 hingga RM8.90 sekilogram, Musang King pula antara RM9 hingga RM25 sekilogram manakala Duri Hitam sekitar RM15 hingga RM38 sekilogram. Lebih mengejutkan ada pekebun mendakwa terpaksa menjual durian pada harga serendah RM1 sekilogram di kebun.

Persoalannya, macam mana harga boleh jatuh seteruk ini?
Jawapannya sebenarnya bermula hampir 10 tahun lalu. Sekitar 2015 hingga 2016, permintaan tinggi dari China menyebabkan ramai pekebun berlumba-lumba menanam Musang King. Memandangkan pokok durian mengambil masa lapan hingga 10 tahun untuk matang, kebanyakan pokok itu kini mengeluarkan hasil pada masa yang sama.
Hasilnya? Pasaran dibanjiri durian dalam jumlah yang sangat besar sehingga pemain industri menggelarkannya sebagai “tsunami Musang King.”
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila sebahagian hasil tidak memenuhi piawaian eksport kerana faktor saiz dan kualiti. Apabila tidak dapat dihantar ke luar negara, bekalan itu akhirnya membanjiri pasaran tempatan, sekali gus menekan harga.
Bagi membantu pekebun, FAMA menetapkan harga lantai RM2.70 sekilogram untuk durian kampung selain membuka puluhan pusat jualan dan pengumpulan bagi memudahkan hasil dijual terus kepada pengguna.
Penganalisis menjangkakan harga durian akan kekal rendah sehingga sekitar Ogos 2026 sebelum kembali meningkat apabila musim durian berakhir.
Buat kaki durian, inilah masa paling ‘berbaloi’ untuk makan sepuas hati. Tapi bagi pekebun, musim ini antara yang paling mencabar apabila harga jatuh jauh lebih rendah daripada kos pengeluaran.
















