PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak lagi akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba cetuskan isu perkauman, agama atau budaya.
Teruskan MembacaKatanya, zaman teguran dan amaran sudah tamat, kini tiba masa tindakan tegas diambil demi jaga keharmonian rakyat.
Anwar merujuk beberapa insiden yang baru-baru ini mencetuskan keresahan awam, termasuk kes kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akibat buli di Sabah, serta isu Jalur Gemilang dipasang terbalik yang dijadikan bahan untuk panaskan suasana politik.
“Dari kes buli yang meragut nyawa anak kita Zara Qairina di Sabah, sampailah ke isu Jalur Gemilang yang wajib kita muliakan, semuanya dijadikan modal politik. Ini tidak boleh diteruskan,” katanya ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX) di PICC, hari ini.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap budaya kecam dan hina yang makin berleluasa tanpa mengira sama ada ia berdasarkan fakta atau sekadar rekaan.
“Hari ini bukan lagi amaran atau teguran. Untuk selamatkan negara, tindakan tegas wajib diambil,” tegasnya.
Anwar juga menegaskan arahan jelas sudah diberi kepada pihak berkuasa: sesiapa sahaja yang terlibat dengan jenayah ugutan atau hasutan, sama ada ahli politik, pemimpin masyarakat, atau rakyat biasa, pasti akan dikenakan tindakan.
Dalam masa sama, beliau menyeru ibu bapa, pendidik dan seluruh rakyat untuk sama-sama hentikan budaya kebencian dan kembali menguatkan perpaduan negara.