PORT DICKSON: Suasana penuh hiba menyelubungi pengebumian dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke Sungai Linggi minggu lalu, apabila seorang lelaki dilihat menangis teresak-esak di pusara mereka semalam.
Teruskan MembacaLelaki tersebut, dikenali sebagai Ade Mos, 47, dilihat sangat terkesan dan tidak mampu menahan sebak kerana gagal menyelamatkan mangsa ketika kejadian.
“Pakcik minta maaf tak dapat selamatkan, pakcik cuba, tapi tak boleh,” luahnya sambil berlinangan air mata.
Menurut laporan, Ade hanya mengenali arwah seminggu sebelum kejadian, namun keakraban singkat itu membuatkan dia seolah-olah sudah rapat seperti keluarga sendiri.
Katanya lagi, dia kerap terserempak dengan keluarga mangsa di tebing sungai kerana mereka selalu memancing, malah dia juga pernah berbual dengan bapa kepada dua beradik itu.
“Arwah adik perempuan tu sangat petah dan manja, keletah dia buat saya rasa macam tengok anak sendiri. Sebab tu walaupun sekejap kenal, perasaan saya sangat kuat terhadap mereka,” katanya.
Ade turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat membantu dua beradik itu ketika tragedi berlaku. Malah sejak kejadian, dia sering tertanya-tanya bila jenazah akan dikebumikan kerana timbul isu berkaitan status agama.
“Bila dapat panggilan polis bagitahu yang mereka akan dikebumikan, saya terus datang. Saya nak tengok buat kali terakhir walaupun rasa sangat bersalah sebab tak dapat selamatkan,” katanya lagi.
Difahamkan, bapa mangsa yang kini direman juga dibawa polis ke tanah perkuburan namun hanya duduk di dalam kereta sebelum dibawa pergi.
Tiada waris lain hadir sewaktu pengebumian itu, sebaliknya hanya penduduk kampung, anggota JHEAINS dan polis yang menguruskan segalanya.