Bukan saja aksi hebat Lionel Messi yang jadi bualan ketika Argentina menewaskan Austria 2-0 dalam saingan Piala Dunia 2026, malah gelagat seorang nenek berusia 100 tahun di stadium turut mencuri perhatian ramai.
Ketika siaran langsung berlangsung, kamera sempat merakam seorang wanita warga emas yang memakai jersi Argentina sambil memegang sepanduk bertulis, “Saya berusia 100 tahun dan peminat Messi.”
Teruskan MembacaKemunculan wanita itu pantas menjadi perhatian netizen yang terhibur melihat semangatnya yang luar biasa terhadap bintang Argentina tersebut.
Wanita berkenaan dikenali sebagai Pauline Kana, atau lebih popular dengan gelaran Granny Smith dan Gangster Granny. Personaliti media sosial dari Amerika Syarikat itu terkenal menerusi kandungan komedi yang dihasilkannya bersama cucu, Ross Smith.
Rupa-rupanya, ini bukan kali pertama Kana ‘mencuri spotlight’ di stadium. Sebelum ini dia beberapa kali hadir ke perlawanan Inter Miami dengan membawa sepanduk lucu khas buat Messi, termasuk tulisan “Messi, Mahukah Awak Mengahwini Saya?” dan “Saya Cintakan Awak, Umur Hanya Sekadar Nombor”.
Kehadirannya kali ini menjadi lebih istimewa apabila ia berlaku pada malam Messi meledak dua gol untuk membantu Argentina melangkah ke pusingan kalah mati.
Selain bergelar peminat nombor satu Messi, Kana juga memiliki jutaan pengikut di media sosial. Malah, namanya pernah tercatat dalam Rekod Dunia Guinness selepas menjadi individu tertua melakukan aksi crowd surfing ketika berusia 99 tahun.
Kini, pada usia genap 100 tahun, Kana sekali lagi membuktikan umur bukan penghalang untuk menikmati kehidupan apabila hadir memberi sokongan kepada idolanya di pentas terbesar bola sepak dunia.
















