PEMPENGARUH media sosial, Cupcake Aisyah atau nama sebenarnya Nur Aisyah Muhammad Razip, 24, topik hangat apabila timbul dakwaan dia telah ‘merampas’ bekas teman lelaki, Kasih Leona Iris yang dikenali sebagai Ryan.
Jelas Aisyah, dia tidak berniat untuk menyakiti atau menyinggung perasaan teman baiknya itu.
Bahkan, Aisyah turut memberitahu bahawa dia mengenali Ryan ketika lelaki itu baru menjalin hubungan dengan Leona.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menjalinkan hubungan dengan bekas kekasih Leona dan pertama kali bertemunya ketika mereka masih lagi bercinta pada awal tahun 2022.
“Kami menjadi kawan yang menyokong kerjaya dari segi media sosial, kandungan (content) masing – masing. Tiada agenda disebaliknya untuk campur tangan dalam hubungan mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Instagram.
Aisyah turut menyatakan dia mula akrab dengan Ryan selepas putus dengan Leona.
Susulan itu dia bertindak untuk menjauhkam diri daripada Ryan demi menyelamatkan persahabatan dengan Leona.
Bagaimanapun, baru-baru ini tular video tentang jam tangan mewah jenama Rolex yang kononnya netizen mendakwa itu adalah pemberian Ryan selain kehadirannya ke rumah Aisyah tidak diketahui oleh Leona.
Aisyah berkata, jam tangan tersebut dibeli olehnya sendiri dan mengakui tindakan itu sebagai satu kesilapan kerana tidak memikirkan perasaan sahabat baiknya.
“Jam tangan itu saya beli sendiri dan mengakui itu adalah kesalahan saya. Oleh kerana terlampau teruja, saya meminta Ryan untuk menghantar terus ke rumah.
“Ketika itu, keluarga saya semua berada di rumah dan ada di dalam video bersama saya. Tetapi orang salah sangka kami ini menjalinkan hubungan cinta,” jelasnya.
Aisyah kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Leona dan memberi pencerahan tentang situasi sebenar.
Aisyah juga berharap supaya netizen tidak membahaskan tentang isu ini lagi dan mahu berehat seketika daripada kerjayanya sebagai pencipta kandungan.
“Perkara ini berlaku setahun yang lalu, saya memohon maaf jika saya telah mengguris perasaan Leona sebagai kawan baik saya.
“Saya juga berharap saya dapat meneruskan kerjaya saya sebagai pencipta kandungan dan berehat seketika,” katanya.
Sebelum ini, Leona yang juga anak kepada pelakon Azhar Sulaiman telah memuat naik sebuah video di TikTok seolah-olah kecewa dengan sikap kawan baik sendiri yang kini bersama teman lelakinya itu selepas mereka berpisah.
Meskipun Leona tidak menyatakan nama individu berkenaan, namun netizen mengaitkan perkara itu dengan Aisyah.
Susulan itu, ibu kepada Aisyah, Sue Zarip muncul membela anaknya daripada dikecam dan mengatakan setiap yang berlaku pasti ada penjelasan yang berbeza serta jangan terlalu cepat membuat keputusan menyalahkan satu pihak sahaja.
Untuk info, Aisyah yang baru menceburi bidang lakonan terlibat dalam drama My Famous Ex Boyfriend.— KL VIRAL
Baca juga: