Terkini

10 lokasi air terjun sekitar Lembah Klang, no.7 tempat paling ramai orang suka

LEMBAH Klang sememangnya dikenali dengan kawasan bandar yang dibanjiri dengan banggunan pencakar langit dan kian membangun.

Tidak dinafikan rata-rata penduduk Malaysia kemungkinan tidak tahu di sebalik kesibukan kota pertumbahan ekonomi negara ini terselitnya khazanah alam.

Pastinya warga kota yang mendiami lokasi terletaknya ‘permata hijau’ itu akan merasakan ketenangan dan kedamaian yang cukup untuk merehatkan minda.

Nak cari tempat healing? Nak cari tempat untuk bawa keluarga? Dan nak isi masa lapang dengan keindahan alam?

Berikut senarai 10 Air terjun yang menarik sekitar Lembah Klang:

1. Air Terjun Chilling

Jika anda seorang yang gilakan sesuatu yang mencabar? Lasak dan mengujakan? Jika ya, Air Terjun Chilling adalah lokasi yang tepat dan sesuai dengan jiwa anda.

Anda perlu merentasi 5 batang anak sungai, mengharungi anak sungai yang berbatu dan licin serta perlu melepasi titi gantung adalah antara cabaran yang bakal anda hadapi untuk sampai ke kawasan air terjun.

Tetapi semua cabaran ini sangat berbaloi apabila melihat air terjun yang bertingkat, panorama hutan yang masih kekal tak terusik, kejernihan air yang mengalir serta anak-anak ikan riang berlari disekeliling kaki. Penat dan lelah sebentar tadi seolah-olah hilang sebaik saja anda tiba di lokasi ini.

2. Air Terjun Sungai Tua, Ulu Yam

Air Terjun Sungai Tua merupakan salah satu kawasan air terjun yang terbaik bagi aktiviti anda sekeluarga. Terdapat sungai yang cetek dan amat sesuai serta selamat bagi aktiviti mandi manda si kecil.

Selain itu, terdapat juga kemudahan pondok untuk berteduh di tepi sungai serta mudah untuk diakses dengan menggunakan kereta ke kawasan ini adalah antara faktor utama tempat ini menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu.

Sekiranya hujan, kami nasihatkan supaya anda membatalkan dulu aktiviti di kawasan ini bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini berlaku seperti kes kepala air pasang.

3. Air Terjun Kancing, Selayang

Terdapat 7 peringkat air terjun untuk anda terokai bersama rakan-rakan serta keluarga pada hujung minggu di sini.

Tapi, pastikan stamina anda cukup sebelum ke sini kerana untuk sampai ke peringkat yang paling atas anda perlu meredah hutan terlebih dahulu. Namun begitu jangan risau kerana ianya amat berbaloi bagi anda si pencinta alam semula jadi.

Pemandangan yang cantik, suasana yang dihiasi dengan kicauan burung serta kerjenihan air dingin yang memikat hati bakal anda nikmati nanti.

4. Air Terjun Komanwel, Selayang

Ramai yang kata destinasi ini sangat sesuai untuk aktiviti lasak secara berkumpulan mahupun persendirian dan antara aktiviti lasak yang boleh anda lakukan di sini adalah menunggang kuda, berakit, jungle trekking serta flying fox. 

Di samping itu, jika anda ingin mencuba sesuatu yang baru jangan lepaskan peluang untuk mencuba aktiviti abseiling dan juga mountain bike di trek yang disediakan.

5. Air Terjun Perdik, Hulu Langat

Air Terjun Perdik adalah kawasan yang sangat sesuai bagi kumpulan atau rakan sekerja yang inginkan aktiviti team building.

Jungle trekking yang mencabar serta aktiviti pendakian ke Bukit Chenuang yang berketinggian 850 meter dari paras laut pasti dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli kumpulan.

6. Air Terjun Sungai Telaka, Hulu Langat

Air terjun Sungai Tekala memang terkenal dengan kecantikanya. Air yang jernih, suasa dingin serta kedalaman air yang cetek dan arus yang tidak deras menjadikanya destinasi yang sesuai untuk keluarga yang mepunyai anak kecil.

Bagi anda yang belum pernah ke sini, bayaran sebanyak RM1 bagi orang dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak akan dicaj sebelum masuk ke kawasan ini. Antara kemudahan yang disediakan di sini adalah tandas dan surau.

7. Air Terjun Sungai Congkak, Hulu Langat

Air Terjun Sungai Congkak juga dikenali sebagai Congkak Park & Resort yang mana dikendalikan oleh Badan Pelancongan Selangor.

Ambillah peluang untuk bermalam di resort bersebelah dengan sungai dan rasai nikmat tidur malam diulik dengan bunyi air sungai yang mengalir serta suasana dingin dek hembusan bayu.

Tapak perkhemahan yang luas, pondok berehat, kemudahan asas seperti tandas dan surau serta kebersihan diutamakan menjadikan Air Terjun Sungai Congkak antara kawasan air terjun yang layak diberikan 5 bintang!

8. Air Terjun Kemensah

Air Terjun Kemensah sangat terkenal dengan kejernihan airnya, kawasan yang kurang berbatu dan terdapat kolam takungan air.

Bukan itu saja, ia juga dilengkapi dengan kemudahan chalet yang sangat selesa menjadikan kawasan ini sering dipenuhi oleh para pengunjung.

Masa hujung minggu anda dan keluarga pasti lagi bermakna jika aktiviti mandi manda diselangi dengan aktiviti BBQ dan berteamboat di sana.

9. Air Terjun Sungai Gabai, Hulu Langat

Kejernihan air sungai di Air Terjun Sungai Gabai pasti akan memikat hati anda sekeluarga. Kelestarian yang masih terjaga, kedingin air yang terasa serta kemudahan yang disediakan adalah yang terbaik.

Air Terjun Sungai Gabai bukan hanya sesuai untuk aktiviti mandi manda sahaja tetapi di sini anda boleh berBBQ bersama keluarga.

Antara kemudahan lain yang disediakan di sini adalah pondok tempat berteduh yang memuatkan lebih dari 5 orang pengunjung, penjaga parking yang memudahkan urusan pengunjung serta tandas dan surau yang bersih untuk digunakan.

10. Air Terjun Templer

Air Terjun Templer terletak di dalam hutan simpanan Templer sememangnya menarik dan menjanjikan kelainan buat para pengunjung.

Dengan panorama yang segar menghijau, air terjun yang bertingkat serta kedingin air sungai yang terasa hingga ke tulang sum-sum adalah tempat pelarian bagi warga kota yang inginkan suasana aman.

Kawasan Air Terjun Templer kebiasaannya akan menjadi tumpuan ratusan pengunjung yang ingin menghabiskan masa hujung minggu yang berkualiti.

Percutian di kawasan yang kaya dengan keindahan alam semulajadi seperti ini dapat memberikan ketenangan serta kedamaian bagi mereka yang sudah penat bekerja dan mahu melarikan diri dari kesesakan kota untuk seketika.

Bagi memastikan kelestarian kawasan air terjun dan perhutanan ini terjaga, marilah sama-sama kita bergandingan dalam memelihara kebersihan serta kemudahan-kemudahan yang telah disediakan sebaiknya. — KL Viral

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top